Halaman

Majlis Hari Raya bersama Surau Al-Furqan


28 Oktober 2008 - Kelab Belia Sentosa(BEST) sekali lagi telah dijemput oleh Surau Al-Furqan untuk menjayakan program Hari Raya secara bersama. Didalam program ini, BEST telah diberikan tugasan untuk menyediakan satay secara bergotong-royong. Program bermula seawal 10.30pagi dimana sebanyak 20ekor ayam telah dipotong dan perap untuk dibuat satay secara bergotong-royong bersama kariah surau termasuk muslimat yang menyediakan ketupat dan kuah kacang. Acara membakar satay telah bermula dari selepas Asar. Selain dari satay Restoran Salam Sentosa juga telah menyumbang makanan berupa nasi briyani, ayam masak merah dan dalca.
Surau Al-Furqan juga telah menjemput pengerusi PERKIM Hulu Selangor Ustaz Haji Mohamad Fitri b. Abdullah sebagai penceramah untuk program tazkirah selepas solat Magrib dan Jamuan Aidilfitri diadakan selepas solat Isyak. Aktiviti yang dijalankan secara bergotong-royong ini bukan sahaja berjaya mengeratkan hubungan belia dengan kariah surau, malah mampu mengalakkan belia untuk hadir dan terlibat dalam aktiviti yang dijalankan oleh surau. Seramai lebih dari 200 orang penduduk sekitar dan jemputan hadir termasuk 50 orang ahli BEST.

Kelulusan Pendaftaran ROY

21 Oktober 2008 - Kelab Belia Sentosa(BEST) pada hari ini telah sah sebagai pertubuhan belia yang berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan Belia(ROY) dengan nombor pendaftaran PPBM 0509/08 dan dengan kelulusan ini, kini seluruh Ahli BEST boleh melakukan aktiviti dengan lebih tersusun dan terancang.
Ahli Majlis Tertinggi BEST akan mengadakan mesyuarat awal bulan hadapan dalam merangka gerak-kerja untuk semua aktiviti utama bagi kalendar tahun hadapan. Ahli BEST adalah dijemput untuk mencadangkan apa juga aktiviti yang sesuai, juga dijemput terlibat dalam semua aktiviti yang akan dilaksanakan kelak.

Majlis Ujian Kenaikan Bengkong

19 Oktober 2008 - Satu Majlis Ujian Kenaikan Bengkong telah diadakan di Dataran Bukit Sentosa,(Gelanggang BEST) oleh pesilat-pesilat dari Perguruan Seni Gayong Tapak Lima Negeri Selangor, Cawangan Bukit Sentosa.

Jurulatih cawangan, yang juga Timbalan Pengerusi BEST berkata "Program ini telah disertai oleh 60 orang pesilat yang menduduki ujian dan mereka telah berjaya melepasi ujian-ujian yang dilaluinya dalam majlis ini. Selain dari itu program ini adalah untuk mempromosi silat, yang boleh dijadikan satu aktiviti sihat yang boleh disertai oleh golongan belia agar dapat mewujudkan generasi belia yang mengamalkan cara hidup sihat, sama-ada dari segi jasmani, mahupun rohani."

Turut hadir dalam Majlis ini adalah Guru Tua Perguruan, Tuan Haji Azmi b. Ismail dan Setiausaha BEST, Saudara Mohd Rizwan, AJK serta ibubapa pesilat yang terlibat. Program yang dijalankan dengan kerjasama BEST ini telah berlansung dengan jayanya dari pukul 8.00pagi dan berakhir pada 1.00 tengahari.